Wednesday, March 30, 2011

Isu dalam Teknologi: Kelebihan penggunaan teknologi mudah alih (M-Learning) dalam pendidikan

Pada era yang serba maju dan moden, kita tidak dapat lari daripada kecanggihan teknologi yang semakin berkembang. Perkembangan pendidikan daripada kaedah tradisional hingga ke Pembelajaran Berasaskan Masalah atau “Problem Based Learning” masih diperkatakan hingga kini. Di Malaysia, Mobile Learning atau selepas ini dipanggil M-Learning boleh dikatakan masih baru dari segi implementasinya.

Oleh itu, apakah yang dimaksudkan dengan M-learning? Ia adalah salah sebuah konsep baru dalam proses pembelajaran di mana dengan menekankan keupayaan untuk memudah alih proses pembelajaran tanpa terikat kepada lokasi fizikal proses pembelajaran tersebut berlaku.
Sebagai salah seorang pelajar di institusi pengajian tinggi, gajet seperti telefon mudah alih, komputer riba, “palm talk” mahupun “i-Pod” amatlah popular di kalangan pelajar dan mampu dimiliki. Selain digunakan sebagai alat untuk hiburan, ia juga boleh digunakan dalam membantu dan menyokong dalam proses pembelajaran. 

Pembelajaran secara M-Learning telah terbukti keberkesanannya di negara luar dan kini telah mula perkenalkan di Malaysia di mana terdapat beberapa institusi pengajian tinggi telah mengintegrasikan teknologi ini dalam kurikulum pengajaran mereka. Perkongsian nota di antara pelajar telah dimudahkan dengan adanya alatan mudah alih seperti PDA di kalangan pelajar. Mereka tidak perlu lagi duduk di hadapan komputer peribadi untuk memuat turun nota. Ianya telah dimudahkan dengan hanya menggunakan internet yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan telefon mudah alih yang dilanggani. Oleh yang demikian, memuat turun nota boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa. 

Selain itu, elemen multimedia yang mampu mengintegrasikan audio dan video dapat menarik minat pelajar dalam penggunaan M-Learning. Melalui pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan audio dan video, pelajar akan menjadi lebih menumpukan perhatian, aktif, konstruktif, bersemangat dan dapat menyemarakkan peranan bekerjasama dalam suasana pemikiran kreatif dan kritis. Perkembangan seperti ini amat diperlukan dalam melahirkan graduan yang kompetitif dan berdaya saing.

Jika sebelum ini kuiz hanya dapat dilakukan di dalam kelas sahaja, kini pensyarah boleh mengadakan kuiz untuk pelajar mereka pada bila-bila masa dengan hanya memasukkan soalan dan menetapkan masa yang perlu diambil bagi setiap kuiz yang diadakan. Hal ini dapat dilakukan melalui alatan mudah alih seperti PDA dan beberapa jenis telefon mudah alih tertentu. Pensyarah boleh tersenyum lebar kerana mereka bukan sahaja boleh mengadakan kuiz bagi pelajar mereka pada bila-bila masa malah dapat memperolehi markah secara masa nyata tanpa perlu mengira markah secara manual. Perisian-perisian untuk mengadakan kuiz ini boleh didapati dengan mudah dan boleh juga dihasilkan oleh pensyarah tersebut dengan menggunakan teknik pemprograman yang mudah.

Keperluan dalam persekitaran pembelajaran yang baru perlu dilaksanakan agar proses pembelajaran tidak terbatas kepada kaedah tradisional semata-mata. Melalui M-Learning, kebebasan dan kawalan diberikan sepenuhnya kepada pelajar. Pelajar diberi kebebasan untuk menghantar tugasan, menjawab soalan kuiz, memuat turun nota, berdiskusi dan melakukan aktiviti-aktiviti pembelajaran mengikut kehendak dan kesesuaian masa mereka. Kebebasan yang diberikan kepada mereka terhadap kaedah pembelajaran ini dapat menarik minat mereka dalam mendalami sesuatu pelajaran. Memandangkan setiap pelajar berbeza, ia merupakan motivasi kepada mereka untuk terus maju dan meningkatkan prestasi pelajaran mereka.

Kemudahan khidmat pesanan ringkas yang hadir bersama alatan mudah alih menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih mudah kerana segala maklumat berkenaan temujanji bersama ahli kumpulan dan pensyarah dapat dilaksanakan secara cepat dalam masa nyata. Kemudahan ini dapat menjimatkan masa serta memudahkan seseorang pelajar dan pensyarah menetapkan jadual harian mereka tanpa terikat pada masa-masa tertentu sahaja.

Pendidikan berteraskan M-Learning sememangnya sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia. Paradigma kita berkenaan teknologi yang baru ini perlulah diubah supaya ianya dapat direalisasikan. Kemudahan kaedah pendidikan yang serba moden dan mudah alih ini perlulah diuji secara kolektif untuk memastikan pelajar kita khususnya di peringkat pengajian tinggi dapat merasai keseronokan pembelajaran di mana-mana sahaja tanpa dibatasi had, tempat dan waktu. Pendedahan yang terhad kepada teknologi mudah alih perlulah ditamatkan dengan mengadakan kelas khusus berkenaan teknologi ini. Oleh itu peluang pelajar untuk memahami kuasa teknologi dapat dipertingkatkan. Pendedahan awal khususnya kepada pelajar tahun pertama di universiti amat penting bagi memastikan pelajar dapat memahami dan seterusnya mengadaptasi kaedah pembelajaran M-Learning di sepanjang pengajian mereka.